Perutusan Pengerusi KMMB Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64

Perutusan

Pengerusi KMMB

SEMPENA SAMBUTAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-64

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Menemui sahabat, kerabat dan rakan sepejabat yang telah memilih untuk menjadi anggota Koperasi Muslimin yang dikasihi sekalian. Moga kita semua sentiasa berada dalam rahmat      dan inayah Allah S.W.T.

Malaysia sudah mengharungi 64 tahun sebagai negara merdeka. Sungguhpun begitu, berapa ramai antara kita mahupun dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri yang benar-benar faham dan menghayati maksud sebenar erti kemerdekaan. Generasi muda pasti menganggap merdeka itu adalah bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Erti kemerdekaan sebenar pada generasi kini adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa kerana generasi muda berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

Bagaimana pula dengan kemerdekaan kita dari aspek ekonomi dan muamalat? Adakah kita telah merdeka daripada belenggu penjajahan sistem ekonomi yang bercanggah dengan Syariah yang bersifat anti riba, gharar (ketidakjelasan), dan maisir (pertaruhan)?  Dalam konteks ini, kemerdekaan yang dicapai akan bermakna hanya apabila kita berjaya menghakis genggaman neokolonialisme atau penjajahan ekonomi yang mencemar kemerdekaan kita dalam aspek ekonomi dan muamalat.

Sidang anggota Koperasi Muslimin yang dikasihi lagi dirahmati Allah SWT,

Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun 2021, iaitu Malaysia Prihatin, saya menyeru anda semua agar menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain. Dalam konteks Koperasi Muslimin, marilah kita pertingkatkan keazaman dan keprihatinan terhadap kesejahteraan Koperasi dengan memberikan sumbangan yang terbaik dan paling sesuai dengan peranan, kemampuan, dan kedudukan masing-masing.

Tidak dilupakan bahawa kita juga mestilah bersikap prihatin terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita.  Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaannya, pertahankanlah kedaulatannya, peliharalah keamanannya. In sha’ Allah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 kepada anda semua.  Izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun berikut;

Jalur gemilang Bendera Malaysia,

Megah Berkibar Setiap Hari,

Selalulah Kita Berdoa Pada-Nya,

Supaya Malaysia Terus Aman Harmoni.

31 Ogos Tarikh Yang Dinanti,

Setiap Lapisan Warganegara,

Koperasi Muslimin Kekal di Hati,

Rezeki Halal, Keluarga Sejahtera.

Sekian dan salam hormat daripada saya.

Ustaz Dr Nurazmallail Bin Marni

Pengerusi

Koperasi Muslimin Malaysia Berhad

Perutusan Pengerusi KMMB Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top